Segala puji-pujian hanya bagi Allah, selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. dan seterusnya kaum keluarganya serta para sahabat dan para tabiin seluruhnya.
Bersyukur ke hadrat llahi dengan limpah kurnia-Nya kita diberi kekuatan dan semangat yang tinggi dalam menghadapi cabaran globalisasi bagi melahirkan pelajar yang berketrampilan dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum. Saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa yang telah berjaya menghasilkan buku yang menjadi panduan kepada warga sekolah untuk merancang dan melaksanakan segala aktiviti pada tahun 2016 ini.
Kini peranan guru sebagai agen perubahan dan penjana modal insan memerlukan tanggungjawab dan komitmen yang tinggi. Sebagai warga pendidik adalah menjadi harapan dan impian untuk memartabatkan bidang pendidikan agar pembaharuan dan perubahan yang sesuai dengan tuntutan semasa untuk mentransformasikan sistem pendidikan bertaraf dunia dapat dicapai. Harapan saya pada tahun ini agar semua warga sekolah, dapat memupuk budaya ketepatan masa dan berprestesi tinggi, iaitu sentiasa bersegera, cekap dan berfikiran positif. Hal ini selaras dengan program–program yang telah dilaksanakan seperti KBAT, i-think, Frog VLE, TIMSS dan PISA dan pelbagai pembaharuan dalam sistem pendidikan yang mengguna kaedah secara online.
Transformasi pendidikan sedang melalui fasa ketiga dalam gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Sebagai guru pada zaman yang mencabar ini, kita perlu berazam dan berusaha sedaya mungkin bagi menghadapi Generasi Y. Keadaan ini menjadikan tugas guru semakin berat dan kompleks. Guru harus bijak dan berhikmah mengurus perubahan di bilik darjah. Tranformasi perlu diiringi dengan perubahan strategi PdP dalam bilik darjah dan melihat sejauh mana murid faham dan seronok belajar. Guru juga harus memupuk dan menjana perubahan sikap dan tingkahlaku pelajar mengikut kehendak dan aspirasi negara.
Saya berharap dalam era tranformasi ini, kita dapat melaksanakan prinsip kerja untuk memaksimumkan impak dalam bentuk keberhasilan kerja aras cemerlang berteraskan pengetahuan, latihan, usaha dan semangat berpasukan. Saya berharap guru–guru dapat bekerja dengan kreatif, inovatif dan berkesan dalam kerangka nilai, piagam, wawasan, matlamat dan objektif yang disepakati bersama. Pendidikan berkualiti mesti dapat diakses oleh semua untuk membangunkan modal insan yang holistik dan beriman. Jadi guru adalah role-model yang mempunyai impak yang tinggi ke atas pencapaian murid.
Akhir kata, saya yakin semua warga SMK Dato’ Bendahara C.M. Yusuf akan memberi komitmen sepenuhnya kepada bidang tugasan masing. Penglibatan menyeluruh semua warga sekolah akan menjadikan SMKDBCMY terus menjulang namanya di Persada Dunia Pendidikan Negara. Kepada semua warga SMKDBCMY diucapkan selamat menjalankan tugas, jadilah warga sekolah beridentiti dan mempunyai jati diri yang tinggi. Semoga usaha kita semua mendapat keberkatan-Nya dan segala sumbangan jasa dalam menjayakan usaha ini, hanya Allah jua yang mampu membalasnya.
Sekian, terima kasih.
En. Mohd Razif Bin Ibrahim
Pengetua,
SMK Dato’ Bendahara C.M. Yusuf
31800 Tanjong Tualang, Perak Darul Ridzuan
No comments:
Post a Comment