Sambutan Hari Sukan Negara telah di
isytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap
tahun. Ia telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Sri Mohd.
Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada 24hb Mac
2015.
Sambutan Hari Sukan Negara ini merupakan suatu
inisiatif Kementerian Belia dan Sukan di mana ia adalah satu langkah pro
aktif di dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan
Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’ (Sporting Nation). Oleh yang
demikian, Hari Sukan Negara di jadikan agenda nasional yang selari
dengan matlamat negara ke arah Wawasan 2020.
Sambutan Hari Sukan Negara bakal diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam meraikan Sambutan Hari
Sukan Negara tersebut yang akan diraikan secara serentak di seluruh
pelusuk tanah air. Semua pihak melalui penglibatan sektor awam, swasta
dan rakyat keseluruhannya akan berganding bahu menganjur dan menyertai
program dan aktiviti sukan dan kecergasan pada hari berkenaan.
Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam
usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas
dan aktif memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif
bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus
berbanding dengan 50 hingga 60 peratus di negara maju. Budaya sukan
melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat
membantu menurunkan kadar penyakit kronik dikalangan rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment